JADILAH PENGIKUT


Total Pageviews

Tuesday, 29 November 2011

KONGRES NASIONAL PKR : MENGGILAP PERJUANGAN RAKYAT


KONGRES WANITA DAN AMK MULA BERSIDANG

JOHOR BAHRU 25 Nov: Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-8 bermula pagi ini di Pulai Spring Resorts, dekat sini. Dengan tema ‘Demi Rakyat’, seramai 2,534 perwakilan dan 1,055 pemerhati dijangka berkampung di sini untuk berkongres selama tiga hari sehingga Ahad ini, 27 November.Perwakilan-perwakilan mula membanjiri resort seawal jam 8.30 pagi tadi. Jelas kelihatan di wajah masing-masing keghairahan untuk berkongres dan bertemu rakan seperjuangan dari seluruh negara.

Kelibat pimpinan utama yang hadir awal ke khemah sarapan pagi perwakilan juga mencuri tumpuan perwakilan. Antara yang kelihatan adalah Naib Presiden, Fuziah Salleh; Ketua AMK, Shamsul Iskandar dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin. Hari pertama Kongres hari ini menyaksikan sayap Wanita dan AMK mula bersidang sebelum Kongres Nasional bermula esok.

Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan Kongres Wanita dan AMK.

Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, kepercayaan bahawa hanya Umno yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sebenarnya hanya mitos lebih setengah abad.

“Hari ini, KEADILAN sudah bersedia untuk menerajui gerakan rakyat untuk memecahkan mitos ini. KEADILAN akan menerajui Malaysia tanpa Umno.

“Sudah tiada lagi harapan rakyat yang boleh disandarkan kepada Umno. Tidak ada lagi alasan rasional yang boleh mempertahankan kerakusan serta pengkhianatan Umno kepada rakyat.

“Fitnah, angkuh, zalim dan rasuah menjadi sebahagian dari jasad dan roh Umno. Umno kini menjadi teras kepada teras politik gelap,” kata Azmin dalam ucapan dasarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Tambah Azmin, Kongres kali ini adalah persediaan KEADILAN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dengan menjadikan Johor sebagai kubu terakhir yang akan ditembusi, meskipun dimomokkan bahawa negeri ini adalah kubu Umno.

Lebih 1,000 perwakilan termasuk jemputan pemerhati antarabangsa dan wakil-wakil Pakatan Rakyat hadir ke perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kali ke-8 di Pulai Springs Resort, Johor Bahru pagi ini.

Program pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang menyampaikan puisi.

Terdahulu, pembukaan majlis dimukan dengan bacaan doa oleh Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus. Perwakilan kemudiannya secara beramai-ramai menyanyikan lagu rasmi KEADILAN, ‘Arus Perjuangan’.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, sayap Wanita KEADILAN akan memperkenalkan calon-calon wanita yang berwibawa untuk diketengahkan pada pilihan raya umum akan datang.

“Wanita KEADILAN ingin meyakinkan pimpinan utama parti bahawa calon Wanita yang akan diketengahkan pada pilihan raya umum akan datang dipilih dari hasil saringan dan kajian latar belakang yang amat ketat dan serius.

“Saya ingin mengingatkan pimpinan, kelayakan melangit dan jolokan darjat pada nama belum tentu menjamin kesetiaan dan kehebatan pemimpin dalam melayan kerenah rakyat.

“Namun, perlu ada juga keseimbangan di antara dua kategori ini supaya saling lengkap-melengkapi perjuangan parti.

“Yang pasti itulah ciri-ciri keistimewaan bakal calon Wanita KEADILAN,” kata Zuraida dalam ucapan dasarnya bertema “Wanita Nadi Negara, Rakyat Hidup Sejahtera”.

Dalam ucapan dasar Shamsul Iskandar Mat Akin selaku Ketua Angkatan Muda (AMK) pula meminta parti mengkaji kemungkinan untuk membuka keanggotaan bersekutu kepada organisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang komited dengan perjuangan KEADILAN.

“Kita berbesar hati jika anak muda menyertai dan memimpin gelombang perubahan lanskap politik negara ini. Kerjasama strategik akan mewujudkan situasi menang-menang manakala anak muda dapat menyuarakan pandangan mereka.

Kongres KEADILAN yang memasuki hari kedua diserikan dengan persembahan tarian bagi meraikan kedatangan tetamu termasuk pemerhati asing.

Mereka dihiburkan dengan tarian singa, tarian Shiva Sangkari, tarian kuda kepang dan aluan kompang yang berlangsung dengan meriah bermula kira-kira jam 8 pagi.

Dalam pada itu, Kongres KEADILAN Nasional pada kali ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu dan perwakilan asing.

Antaranya Wakil dari Persatuan Kebudayaan Palestin, Mohammad Alherbawi, Pengurus Program Yayasan Friedrich Newman, Wolfgang Heinze, Wakil dari PDP-Laban dari Filipina, Fernando Pena,Ketua Dewan Pimpinan Pusat Partai Gerindra, Indonesia, Sjukrianto Y SE MFin), (Ketua Dewan Pimpinan Pusat Partai Bulan Bintang, Indonesia Fathurrahman Mahfudz, Ketua Dewan Pimpinan Pusat Partai Persatuan Pembangunan, Indonesia, Hilman Ismail Metarium, Pegawai kedutaan Pepun, Yoichiro Nishimura dan delegasi dari Kesatuan Eropah, Ivo Apostolov.

Lain-lain tetamu ialah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pimpinan serta anggota komponen KEADILAN, PAS, DAP dan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM.

SETIAUSAHA AGUNG : KEAHLIAN PKR MENINGKAT LONJAK SOKONGAN UNTUK PRU

Peningkatan keahlian secara aktif akan menjadi pemangkin yang bakal menjana kemenangan besar dalam pilihanraya umum akan akan datang, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.Saifuddin berkata keahlian KEADILAN setakat ini adalah 547,326 ahli diseluruh negara.

Katanya berdasarkan komposisi kaum pula 50% Melayu, 23% India, 17 % Cina dan lain-lain suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Manakala cabang Kota Raja di Selangor merupakan cabang keahlian paling ramai.

Sepuluh cabang yang paling aktif dalam penambahan keahlian baru pada 2010 pula terdiri dari Tenom (812), Kuala Kubu Baru (790), Kuala Langat (731), Serian (673), Kapar (446), Kota Marudu (425), Gombak (405),Permatang Pauh (395), Kalabakan (310) dan Hulu Selangor (304).Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata kongres kali ini merupakan yang terakhir sebelum pilihanraya umum akan datang.


SETIAUSAHA KEWANGAN MTUC (KONGRES KESATUAN SEKERJA MALYSIA) LANCAR PERANG TERHADAP KERAJAAN

KEADILAN akan mengadakan himpunan bagi membantah Rang Undang-Undang Akta Pekerja di Dewan Negara pada 12 Disember ini, kata perwakilan pekerja dalam usul ucapan Presiden, Alias @ Awang Ibrahim.

Malah, beliau yang mewakili pekerja di Selangor akan turut mengadakan bantahan lebih awal iaitu pada 2 Disember di Shah Alam bagi meneruskan tekanan terhadap kerajaan berhubung pindaan Akta Sekerja 2011.

“Kita isytihar perang terhadap mereka. Tunggulah pilihan raya umum ke-13 nanti,” kata Alias merujuk bantahannya terhadap Rang Undang-undang yang dikemukakan Kementerian Sumber Manusia. Tambahnya, pindaan akta yang turut dikenali sebagai ‘contract for labour’ mengikis hak asas pekerja termasuk cuti tahunan, cuti sakit dan cuti bersalin.

Berbanding Pakatan Rakyat yang memperkenalkan cuti bersalin 90 hari yang kemudiannya ditiru kerajaan pusat, Selangor turut menerajui pembelaan dari sudut pemberian gaji dengan melaksana skim gaji minima RM 1,500 di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Selangor.

Dalam pada itu, Alias turut mencadangkan diadakan suatu dokumen hitam putih antara kesatuan sekerja dengan parti Pakatan Rakyat.

“Kita nak tunjukkan kepada kaum pekerja yang Pakatan Rakyat membela mereka,” kata Alias.

UMNO AJAK RAKYAT MAKAN DUIT HARAM : PAK WAN

Tidak menghairankan sekiranya Umno mengajak rakyat makan ‘duit haram’ kerana parti itu sendiri merupakan ‘parti haram’, kata perwakilan Perlis, Wan Khazim Wan Din.
“Bila badan haram, dia tak segan untuk melakukan kerja-kerja haram. Bila badan haram, dia ajak rakyat sama makan duit haram macam dia.“Rasuah kain pelikat, beri duit dan buat jalan raya bila dekat hari mengundi, semua itu rasuah,” katanya dalam perbahasan usul ucapan Presiden KEADILAN.


LAKSANAKAN BERSIH 3.0 : AMK

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak pimpinan Pakatan Rakyat segera melaksana Bersih 3.0 pada Disember ini, kata Naib Ketuanya, Azmizam Zaman Huri.
Ini kerana katanya, kewujudan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya (PSC) sehingga kini gagal menunaikan lapan tuntutan Bersih.

“Saya mendesak pimpinan Pakatan Rakyat tidak lagi melayan PSC yang bertujuan hanya melengehkan kita dan tiba masanya Bersih 3.0 diadakan Disember ini juga,” katanya.

DASAR DI JOHOR AKAN DILAKSANAKAN SEPERTI DI SELANGOR : KHALID

Segala dasar yang diamal pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor akan dilaksana di Johor jika negeri itu ditawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Berucap di Kongres KEADILAN Nasional ke 8 hari ini, Khalid berkata, reformasi yang dilaksana di Selangor terbukti berkesan dan memanfaatkan rakyat negeri itu.Menurut Khalid, antara perkara pertama yang bakal dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat ialah menyelesaikan masalah air di Johor yang masih tertangguh sehingga kini.

“Sebelum berucap saya sudah periksa sekali lagi isu air di Johor dan didapati ia masih tidak diaudit dan ini antara punca mengapa masalah air di Johor sehingga kini tidak selesai.

“Jika Pakatan berjaya perintah, kita mampu menyelesai masalah ini dalam masa dua tahun, insyaallah,” katanya menggulung perbahasan menyokong ucapan dasar Presiden hari ini.


KEADILAN MAIN PERANAN HINGGA MANSUH ISA DAN ORDINAN DARURAT : NURUL IZZAH

Tidak boleh dinafikan peranan KEADILAN sehingga berjaya membatalkan tiga pengisytiharan darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata demikian ketika menggulung perbahasan menyokong dasar Presiden di Kongres KEADILAN Nasional yang menutup tirainya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih gagal dalam komitmennya berikutan penangkapan 13 orang di Tawau, Sabah di bawah ISA baru-baru ini.

Dalam pada itu, Izzah mengingatkan perwakilan kembali mengenang asas penubuhan parti itu yang memperjuangkan hak rakyat Malaysia sejak penubuhannya.Katanya, mereka yang sebelum ini tidak berada dalam perjuangan KEADILAN ikut serta bangkit melawan kezaliman yang dilakukan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

“Mereka yang tak pernah berada dalam politik pun bersama dengan KEADILAN.

“Lihat keluarga Ahmad Sarbaini, Teoh Beng Hock dan Aminulrasyid. Mereka terus berdiri dan bangun melawan. Ini yang patut kita pelajari mengapa kita berada dalam parti, mengapa kita bersama dalam sebuah keluarga KEADILAN yang besar,” katanya.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini jauh lebih bersedia berbanding tahun 2008 dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Demikian dinyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar ibrahim dalam ucapan penangguhan Kongres Nasional KEADILAN ke 8. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini jauh lebih bersedia berbanding tahun 2008 dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Dalam semua persiapan, kita jauh lebih kuat dari tahun 2008,” kata Anwar kepada lebih 2,000 perwakilan yang setia menunggu untuk mendengar ucapan beliau di kongres selama tiga hari itu.

Menurut Anwar, keyakinan itu bersandarkan kekuatan jentera parti dan senarai calon yang jauh lebih ‘bersih’ berbanding pilihan raya pada Mac 2008.

Lantaran itu beliau mengingatkan pimpinan supaya berpegang teguh kepada prinsip perjuangan KEADILAN dan tidak mudah ‘dibeli’ oleh Umno-Barisan Nasional.

“(Pemimpin) yang lompat, bagus kerana membersihkan parti daripada anasir-anasir kotor.

“Umno tiada kekuatan. Kekuatan dia cuma boleh beli orang.

“Saudara-saudara kena jaga pengkhianatan dari dalam. Jangan ingat wang ringgit boleh lemahkan kita,” tegas Anwar.

Menurut Anwar, untuk memastikan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, beliau menggariskan dua perkara yang perlu dilakukan dalam PRU akan datang.

Pertama, katanya, adalah kerja keras untuk menumbangkan Umno yang jelas mengkhianati kontrak sosial di antara pemerintah dan rakyat.

Strategi kedua, kata Anwar adalah berpegang teguh kepada nilai-nilai murni perjuangan KEADILAN yang

Beliau mengambil contoh pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bekerja keras untuk memberikan manfaat kepada rakyat terbanyak.

“Kita mesti tingkatkan kefahaman dan cita-cita murni kita.

“Kita pertahan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana ‘keras’ dan ‘degil’ jaga pentadbiran Selangor,” kata Anwar.

Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan pilihan raya kali ini adalah peluang terbaik untuk rakyat menukar pentadbiran BN.

“Ini kesempatan terbaik untuk rakyat ubah sistem pentadbiran. Balik dengan selamat, Insya-Allah kita tawan Putrajaya,” kata Anwar.

Kongres Nasional Tahunan KEADILAN kelapan yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 November 2011, turut mendapat perhatian dari perwakilan antarabangsa.

Ia merupakan kongres terakhir KEADILAN sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung pada bila-bila masa sahaja.



1 comment:

  1. Aku sokong dengan kenyatan Ketua Wanita Keadilan.
    Calon mestilah melalui saringan dan kajian latar
    belakang yang amat ketat.Kita tidak mahu sejarah
    di PERAK berulang.Dan pastikan juga Ketua Cabang
    PKR Padang Rengas ALIAS BIN ZENON tidak diletakkan
    sebagai calon.Siasat kes mamat ini.Don't ever talk
    about JUSTICE if this S.O.B is still a candidate
    in the next GE!!

    ReplyDelete