BEAUFORT: Selepas mengumumkan tidak akan
mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian baru-baru ini, Timbalan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Lajim Haji
Ukin, mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno
Kerambai Kebatu.
Beliau membuat pengumuman itu semasa berucap pada Majlis sambutan
Ulang Tahun ke-57 kelahiran beliau yang dianjurkan oleh Keluarga, Mayang
dan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) yang diadakan di kediamannya
pada malam Sabtu.
“Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telahpun di
hantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu,”
katanya.
Sebelum ini Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Umno Bahagian Beaufort .
“Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan
langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya
tunggu dan lihat,” kata Lajim.
Menurutnya ada pihak telah mencabar beliau dengan berkata “kalau
Lajim berani, umumkan letak jawatan dalam Umno”. Tetapi saya tidak akan
terpengaruh dengan cabaran itu namun saya mencabar pucuk pimpinan
berbuat demikian dan Rakyat Klias dan Parlimen Beaufort sudah sedia
menanti apa saja tindakan pucuk pimpinan BN atau Umno.
Katanya, setakat ini beliau masih “pemimpin kerajaan” dan masih
meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan bila tiba
masanya cabaran-cabaran itu akan dipertimbangkan.
Kataya, desakan itu hanya dilontarkan oleh segelintir individu yang
mempunyai agenda peribadi dengan menjadikan Halaman Sosial (Facebook )
sebagai medan untuk menghentam peribadi beliau terutamanya menjelang PRU ke-13.
“Siapa mereka yang mendesak saya berbuat demikian, jika saya
melakukan kesalahan parti dan kerajaan boleh mengambil tindakan untuk
memecat saya, lagipun bukan mereka yang menentukan masa depan saya,
sebaliknya rakyat di kawasan ini,” katanya ketika berucap di hadapan
lebih dari dari 5,000 orang penyokong dari pelbagai kaum dan agama yang
hadir ke majlis sambutan hari jadi di kediamannya di Kampung Kaundu
Kebatu.
Menurut Lajim, mereka tidak berhak membuat desakan itu sebaliknya
beliau menyerahkan kerjaya dan masa depan politiknya kepada rakyat di
kawasan Parlimen Beaufort.
“Saya yakin jika rakyat menolak saya, kehadiran mereka pada majlis
malam ini tidak akan seramai begini, ini kerana majlis ini dibuat tanpa
jemputan dan ianya hanya majlis sambutan harijadi saya dan saya
bersyukur serta berterima kasih atas kehadiran yang sebegini meriah,”
katanya.
Tambah Lajim beliau tidak akan menjadi pemimpin seumur hidup,
bagaimanapun jika rakyat masih mengharapkan kepimpinan beliau sebagai
pemimpin di kawasan itu beliau akan meneruskan perjuanganya bagi membela
masa depan rakyat khususnya di kawasan itu
“Dalam dunia politik ini kita tidak boleh menjadi pemimpin hanya
menurut kehendak pihak tertentu “Yes Man” perjuangan sebenarnya perlu
berpaksikan kepada kehendak rakyat sebagaimana Slogan dalam Gagasan 1
Malaysia ‘Rakyat di Dahulukan Pencapaian Diutamakan’,” katanya.
Menurutnya, pihak-pihak yang beragenda ini tidak perlu gusar dan
perlu melakukan desakan untuk beliau keluar dan meletakkan jawatan dalam
kerajaan dan parti kerana yang menjadi kata pemutus bukannya mereka
tapi rakyat.
“Tindakan golongan tertentu yang menimbulkan provokasi ini
mencerminkan kebimbangan dan ketakutan mereka untuk menyerahkan nasib
dan masa depan politik mereka yang bakal ditentukan rakyat apabila
tiba masanya,” katanya.
Tambah Lajim, menyedari golongan ini tidak mendapat sokongan rakyat,
mereka cuba menimbulkan keraguan terhadap wibawa kepimpinan yang ada
tetapi pada masa sama tidak pula menimbulkan bahawa mereka juga
mendapat kejayaan di bawah kerangka yang ada.
“Kelompok ini hanya berani berselindung di sebalik anarki melalui
provokasi fitnah memfitnah dan adu domba jika benar mereka boleh
memimpin beranilah untuk bersaing di gelanggang demokrasi, pasaran idea
dan agenda masa depan negara berlandaskan kehendak dan pilihan rakyat,”
tegas Lajim.
Beliau berkata bersedialah untuk diteliti dan dihakimi rakyat
berdasarkan wawasan, idea, dasar, program dan rekod pencapaian yang ada.
Sambil memberi jaminan beliau akan terus berjuang dalam kerjaya
politiknya demi kepentingan rakyat di kawasan tersebut selagi khidmat
beliau rakyat meskpipun dalam wadah yang berbeza, Lajim berkata agenda
bagi membawa perubahan yang besar terhadap kehidupan rakyat perlu
diteruskan.
“Masih banyak keperluan pembangunan demi kesejahteraan rakyat perlu
kita perjuangkan agar tidak ada kelompongan dalam usia kemerdekaan yang
semakin matang rakyat berhak menikmatinya,” katanya.
Di majlis itu juga, Lajim turut melancarkan Buku Perlembagaan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) edisi kedua.-http://www.newsabahtimes.com.my
No comments:
Post a Comment